DEFINISI HARTA PUSAKA
Segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak-hak dan apa yang termasuk dalam miliknya setelah dia mati.
Termasuk Harta Pusaka
- Semua harta si mati yang diperolehi secara halal;
- Sewa yang belum dijelaskan kepada si mati;
- Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematian;
- Dividen / faedah yang terbit daripada harta si mati;
- Simpanan KWSP berpenama / tiada penama;
- Penama Takaful; dan
- Barang yang terbit selepas mati seseorang dari usahanya semasa hayat.
Bukan Harta Pusaka
- Harta yang telah dijual, diwakaf, dihibah atau dipegang amanah;
- Khairat kematian;
- Pemberian oleh orang-orang yang menziarahi kematian
- Imbuhan, pampasan dan sagu hati;
- Pencen terbitan; dan
- Bayaran-bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (PERKESO)
DALIL PENSYARIATAN PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA
Al-Quran
Firman Allah SWT:
يُوصِيكُمُ اللَّهُ فِي أَوْلَادِكُمْ ۖ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ ۚ فَإِنْ كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ ۖ وَإِنْ كَانَتْ وَاحِدَةً فَلَهَا النِّصْفُ ۚ وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِنْ كَانَ لَهُ وَلَدٌ ۚ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ ۚ فَإِنْ كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۗ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا ۚ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
Yang bermaksud: “Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya ialah ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Nisa’: 11)
Firman Allah SWT:
وَلَكُمْ نِصْفُ مَا تَرَكَ أَزْوَاجُكُمْ إِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُنَّ وَلَدٌ ۚ فَإِنْ كَانَ لَهُنَّ وَلَدٌ فَلَكُمُ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْنَ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِينَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۚ وَلَهُنَّ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِنْ لَمْ يَكُنْ لَكُمْ وَلَدٌ ۚ فَإِنْ كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُمْ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۗ وَإِنْ كَانَ رَجُلٌ يُورَثُ كَلَالَةً أَوِ امْرَأَةٌ وَلَهُ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ فَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا السُّدُسُ ۚ فَإِنْ كَانُوا أَكْثَرَ مِنْ ذَٰلِكَ فَهُمْ شُرَكَاءُ فِي الثُّلُثِ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصَىٰ بِهَا أَوْ دَيْنٍ غَيْرَ مُضَارٍّ ۚ وَصِيَّةً مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَلِيمٌ
Yang bermaksud: “Dan bagi kamu (suami) satu perdua dari harta yang ditinggalkan isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak, jika isteri kamu mempunyai anak maka kamu mendapat satu perempat daripada harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Dan bagi mereka pula (isteri) memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak, jika mempunyai anak, maka isteri memperoleh satu perlapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Jika seseorang mati baik lelaki atau perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak tetapi mempunyai seorang saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu, maka bagi masing-masing ialah satu perenam harta. Tetapi jika saudara seibu itu lebih daripada seorang maka mereka bersekutu dalam sepertiga, sesudah dipenuhi wasiat dibuatnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat kepada ahli waris. Allah menetapkan yang sedemikian itu sebagai syariat yang benar dari Allah.” (Surah Al-Nisa’: 12)
Firman Allah SWT:
يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلَالَةِ ۚ إِنِ امْرُؤٌ هَلَكَ لَيْسَ لَهُ وَلَدٌ وَلَهُ أُخْتٌ فَلَهَا نِصْفُ مَا تَرَكَ ۚ وَهُوَ يَرِثُهَا إِنْ لَمْ يَكُنْ لَهَا وَلَدٌ ۚ فَإِنْ كَانَتَا اثْنَتَيْنِ فَلَهُمَا الثُّلُثَانِ مِمَّا تَرَكَ ۚ وَإِنْ كَانُوا إِخْوَةً رِجَالًا وَنِسَاءً فَلِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ ۗ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ أَنْ تَضِلُّوا ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Yang bermaksud: “Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah, Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang lelaki mewarisi (seluruh harta saudara perempuan), jika dia tidak mempunyai anak. Tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara laki-laki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah Al-Nisa’: 176)
Al-Hadis
Daripada Abdullah bin ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَلْحِقُوا الفَرائِضَ بأَهْلِها، فَما بَقِيَ فَهو لأوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ
Yang bermaksud: “Hendaklah kamu berikan fardu-fardu kepada ahli-ahlinya, apa yang berbaki maka untuk lelaki yang lebih utama.” (Riwayat al-Bukhari)
Dalam hal yang berkaitan gugurnya hak faraid, hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
القاتلُ لا يَرِثُ
Yang bermaksud: “Pembunuh tidak akan mewarisi harta pusaka.” (Riwayat at-Tirmizi)
Hak faraid juga boleh gugur dalam keadaan di mana waris si mati berlainan agama sebagaimana hadis daripada Usamah bin Zaid r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا يرِثُ المسلمُ الكافرَ ولا الكافِرُ المُسْلِمَ
PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA
Islam menetapkan kaedah pembahagian harta pusaka yang dinamakan sebagai faraid. Ia diperoleh daripada seseorang yang meninggal dunia yang meninggalkan waris yang layak menerima harta pusaka mengikut Hukum Syarak setelah diuruskan jenazah si mati, dilunaskan hutang-piutangnya (hutang dengan Allah (zakat, haji, fidyah dan kaffarah) dan hutang dengan manusia) dan dilaksanakan wasiatnya (sekiranya ada).
RUKUN PUSAKA
- Si mati > orang yang diwarisi hartanya selepas kematian;
- Waris > orang yang berhak menerima pusaka; dan
- Harta > apa-apa kepunyaan si mati yang boleh diwarisi
SEBAB-SEBAB MEMPUSAKAI HARTA
- Perkahwinan
- Keturunan
- Islam
HALANGAN MENERIMA PUSAKA
- Membunuh
- Berlainan Agama
- Murtad
SYARAT-SYARAT MEMPUSAKAI HARTA
- Pemilik harta mati
- Waris hidup ketika pemilik harta mati
WARIS-WARIS DALAM PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA
Waris-waris yang berhak mewarisi harta pusaka dibahagikan kepada waris lelaki dan perempuan seperti berikut:
Cara mewarisi harta pusaka sama ada seseorang waris itu berhak atau tidak berhak adalah tertakluk kepada golongan-golongan waris seperti berikut:
1. Ashab al-Furud
Waris ashabul-furud menerima harta pusaka menurut bahagian yang telah ditetapkan oleh Hukum Syarak iaitu sama ada 1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6, 1/8 atau 1/3 baki. Mereka terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.
2. Asabah
Asabah adalah waris yang tidak mendapat bahagian secara fardu yang ditetapkan. Terdapat 3 jenis asabah iaitu:
(a) Asabah Bi al-Nafsi
(b) Asabah Bi al-Ghairi
(c) Asabah Ma’a al-Ghairi.
(a) Asabah Bi al-Nafsi
Asabah dengan diri sendiri iaitu seseorang menjadi asabah tanpa memerlukan kepada orang lain untuk mengasabahkannya. Kadar bahagian mereka tidak menentu. Adakalanya mereka mewarisi kesemua harta atau mengambil baki setelah diberi bahagian waris fardu dan adakalanya tidak mendapat bahagian langsung kerana telah dihabiskan oleh waris fardu. Mereka yang mewarisi secara asabah bi al-nafsi ialah semua waris lelaki kecuali suami dan saudara seibu. Namun, jika terdapat ramai waris yang boleh mewarisi harta pusaka secara asabah bi al-nafsi ini, maka yang diutamakan adalah waris yang paling hampir dengan si mati. Waris yang lebih jauh akan terdinding atau gugur.
(b) Asabah Bi al-Ghairi
Asabah bersama dengan orang lain iaitu seseorang mewarisi harta pusaka apabila si mati meninggalkan waris lelaki dan waris perempuan yang sama darjat di mana bahagian mereka telah ditetapkan iaitu bahagian waris lelaki adalah dua kali lebih daripada bahagian perempuan. Mereka terdiri daripada 4 golongan, iaitu: anak lelaki dan perempuan, cucu lelaki dan cucu perempuan, saudara seibu sebapa lelaki dan saudara seibu sebapa perempuan dan saudara sebapa lelaki dan saudara sebapa perempuan.
(c) Asabah Ma’a al-Ghairi
Asabah berserta dengan orang lain bermaksud waris perempuan iaitu saudara seibu sebapa perempuan atau saudara sebapa perempuan menjadi asabah apabila si mati meninggalkan bersertanya anak perempuan atau cucu perempuan dengan syarat tidak ada saudara seibu sebapa lelaki atau saudara sebapa lelaki yang mengasabahkan saudara-saudara perempuan tersebut menjadi asabah bi al-ghairi.
3. Dhawi al-Arham
Dhawi al-arham ialah waris yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan si mati selain daripada waris fardu dan waris asabah. Ulama’ telah berselisih pendapat tentang kedudukan mereka, sama ada mereka boleh mewarisi harta pusaka atau tidak. Golongan pertama berpendapat mereka berhak mewarisi sekiranya si mati tidak meninggalkan waris asabah yang dapat menghabisi harta pusaka, atau tidak ada waris fardu boleh diradkan baki harta kepada mereka. Golongan kedua pula berpendapat mereka tidak berhak mewarisi. Oleh itu, sekiranya si mati tidak meninggalkan waris asabah atau meninggalkan waris fardu yang tidak dapat menghabiskan harta pusaka, baki harta pusaka si mati hendaklah diserahkan ke Baitulmal walaupun si mati meninggalkan ramai waris dhawi al-arham.
KEDUDUKAN BAITULMAL DALAM PENGURUSAN HARTA PUSAKA
Harta pusaka merupakan salah satu sumber Baitulmal yang telah ditetapkan mengikut hukum faraid di mana Baitulmal merupakan tempat rujukan terakhir sekiranya sesuatu harta pusaka itu tiada pewaris atau terdapat baki harta setelah diberikan kepada waris-waris yang berhak. Ia berdasarkan kitab Raudah al-Talibin karangan Imam An-Nawawi jilid 5, halaman 6-7: “Sekiranya si mati tidak meninggalkan waris fardu, dan tidak meninggalkan waris asabah, maka hendaklah diwarisi oleh dhawi al-arham. Pada pandangan kami, sesungguhnya pendapat yang sahih dhawi al-arham itu tidak mewarisi dan tidak juga dipulangkan lebihan harta, iaitu dalam keadaan bilamana urusan baitulmal ditadbir dengan baik dengan diperintah oleh pemimpin yang adil.”
Dalam kitab al-Mawarith fi al-Syariah al-Islamiyyah fi Dhauil Kitab wa al-Sunnah, karangan al-Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni, cetakan ke-5, tahun 1407H/1987M menyatakan, pendapat Imam Malik dan Imam Syafi’e bahawa dhawi al-arham atau para kerabat tidak berhak mendapat waris. Lebih jauh mereka mengatakan bahawa bila harta pusaka bagi waris yang tidak ada ashab al-furud atau asabah yang mengambilnya, maka hendaklah dilimpahkan kepada Baitulmal kaum muslimin untuk disalurkan demi kepentingan masyarakat Islam pada umumnya. Dengan demikian, tidak dibenarkan jika harta tersebut diberikan kepada dhawi al-arham. Di antara mereka yang berpendapat demikian ialah Zaid bin Thabit r.a. dan Ibnu Abbas r.a. dalam sebahagian riwayat darinya.
Dalil yang dijadikan landasan oleh Imam Malik dan Syafi’e ialah:
- Asal pemberian hak waris atau asal penerimaan hak waris adalah dengan adanya nas syar’ie dan qat’ie dari al-Qur’an atau al-Sunnah. Dalam hal ini tidak ada satu pun nas yang pasti dan kuat yang menyatakan wajibnya dhawi al-arham untuk mendapat waris. Jadi, bila kita memberikan hak waris kepada mereka (dhawi al-arham) bererti kita memberikan hak waris tanpa berpandukan kepada dalil yang pasti dan kuat. Hal seperti ini menurut syariat Islam adalah batil.
- Rasulullah S.A.W. ketika ditanya tentang hak waris ibu saudara baik dari sebelah bapa ataupun ibu, baginda menjawab: “Sesungguhnya Jibril telah memberitahu kepadaku bahawa dari keduanya tidak ada hak menerima waris sedikit pun.” Memang sangat jelas betapa dekatnya kekerabatan saudara perempuan bapa ataupun saudara perempuan ibu dibandingkan kerabat lainnya. Maka jika keduanya tidak berhak untuk menerima harta waris, kerabat lain pun demikian. Sebabnya tidak mungkin dan tidak dibenarkan kita memberikan hak waris kepada kerabat lain, sedangkan ibu saudara tidak layak mendapatkannya. Berdasarkan kaedah fiqh ianya dikenali sebagai tarjih bilaa murajjih yang bererti batil.
- Harta peninggalan, bila ternyata tidak ada ahli warisnya secara sah dan benar, baik dari ashab al-furud ataupun para asabah bila diserahkan ke Baitulmal akan dapat mewujudkan kemaslahatan umum, sebab umat Islam akan ikut merasakan faedah dan kegunaannya. Namun sebaliknya, bila diserahkan kepada kerabatnya, maka kegunaan dan faedahnya akan sangat minimum, dan hanya kalangan mereka saja yang merasakannya. Padahal dalam kaedah usul fiqh telah ditegaskan bahawa kemaslahatan umum harus lebih diutamakan daripada kemaslahatan peribadi.
BAGAIMANA BAITULMAL MEWARISI HARTA PUSAKA
Baitumal mewarisi harta pusaka seseorang si mati melalui keadaan-keadaan seperti berikut:
i. Sekiranya si mati tidak mempunyai waris yang berhak mewarisi harta pusaka mengikut hukum faraid. Dalam keadaan ini, semua harta si mati dikembalikan kepada Baitulmal.
Contoh:
Si mati sebatang kara. Tidak mempunyai suami atau isteri, ibu bapa dan tidak pula mempunyai saudara mara, semua harta pusakanya diserahkan kepada Baitulmal.
ii. Sekiranya si mati meninggalkan waris, tetapi mereka tidak tersenarai sebagai waris yang berhak mewarisi harta pusaka atau terhalang daripada menerima pusaka seperti waris dhawi al-arham atau berlainan agama, maka kesemua harta pusaka itu diserahkan kepada Baitulmal.
Contoh:
(a) Si mati tidak mempunyai waris lain kecuali anak saudara perempuan daripada adik beradik lelaki seibu sebapa yang mati dahulu. Anak saudara ini tergolong dalam kategori waris dhawi al-arham dan tidak mewarisi. Oleh itu kesemua harta pusaka diserahkan kepada Baitulmal.
(b) Si mati tidak mempunyai waris lain kecuali anak saudara lelaki daripada adik beradik seibu sebapa perempuan yang mati dahulu. Anak saudara ini tergolong dalam kategori waris dhawi al-arham dan tidak mewarisi. Oleh itu kesemua harta pusaka diserahkan kepada Baitulmal.
(c) Si mati seorang muallaf. Ibu bapa dan semua saudara mara bukan beragama Islam. Oleh itu semua harta pusakanya dikembalikan kepada Baitulmal kerana berlainan agama menghalang seseorang itu daripada mewarisi harta pusaka.
iii. Sekiranya si mati meninggalkan waris yang berhak menerima pusaka, namun mereka hanya mewarisi sebahagian sahaja daripada harta pusaka itu. Maka bakinya diserahkan kepada Baitulmal.
Contoh:
(a) Si mati seorang muallaf dan meninggalkan seorang isteri tanpa anak. Waris lain seperti ibu bapa dan adik beradik tidak beragama Islam. Dalam kes ini, isteri hanya layak mewarisi sebanyak 1/4 bahagian sahaja manakala bakinya 3/4 bahagian diserahkan kepada Baitulmal.
(b) Si mati hanya meninggalkan seorang anak perempuan sahaja. Waris lain seperti ibu bapa, adik beradik, bapa saudara dan lain-lain lagi waris asabah tidak ada. Seorang anak perempuan layak mewarisi secara fardu sebanyak 1/2 bahagian sahaja manakala bakinya 1/2 bahagian lagi diserahkan kepada Baitulmal.
(c) Si mati meninggalkan suami dan ibu. Lain-lain waris tidak ada. Suami mewarisi secara fardu sebanyak 1/2 bahagian manakala ibu si mati juga mewarisi secara fardu sebanyak 1/3 bahagian. Bakinya sebanyak 1/6 bahagian diserahkan kepada Baitulmal.
FAEDAH MEMPELAJARI ILMU FARAID
- Menyelesaikan tanggungjawab fardu kifayah dalam masyarakat supaya ilmu ini tidak dilupakan dan tidak pupus ditelan zaman;
- Menghindarkan kita daripada memakan harta secara batil sama ada dengan merampas atau memiliki harta kepunyaan orang lain terutamanya saudara sendiri;
- Menghindarkan salah faham dan pertelingkahan dalam kalangan waris yang boleh membawa kepada putusnya tali silaturrahim dan porak peranda dalam institusi keluarga; dan
- Menyedarkan waris-waris untuk segera menyelesaikan pembahagian harta pusaka, sekaligus mengelakkan penangguhan pembahagian sehingga bertahun-tahun.
INSTITUSI PENGURUSAN HARTA PUSAKA DI MALAYSIA
PERKHIDMATAN HARTA PUSAKA DI MAIS
MAIS menyediakan perkhidmatan Pengurusan Harta Pusaka Orang Islam seperti berikut:
- Permohonan Tebus Pusaka Bahagian Baitulmal
- Permohonan Mengurus Pembahagian Harta Pusaka Si Mati
- Runding Cara Pengurusan Harta Pusaka
- Ceramah, Kursus dan Seminar Pengurusan Harta
- Tuntutan Harta Pusaka Bahagian Baitulmal kepada Agensi Berkaitan
- Terimaan Pelbagai Harta Pusaka Alih dan Tak Alih
- Penjualan Harta Pusaka Bahagian Baitulmal
Permohonan Mengurus Pembahagian Harta Pusaka Si Mati
Perkhidmatan ini disediakan kepada mana-mana waris atau pihak berkepentingan untuk melantik MAIS selaku pentadbir kepada harta pusaka seseorang si mati.
Jadual Fi Bayaran
KENAPA MENGURUS HARTA PUSAKA DI MAIS?
- MAIS melalui Baitulmal adalah tempat rujukan terbaik pengurusan harta umat Islam;
- MAIS berbidangkuasa di bawah Seksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, “Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah.”;
- MAIS mempunyai jaringan dan persefahaman yang baik dengan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), Pejabat Daerah dan Tanah, Amanahraya Berhad (ARB), Mahkamah Tinggi Sivil, Mahkamah Syariah, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan agensi-agensi amanah swasta; dan
- MAIS mempunyai akses ke atas institusi Islam lain seperti masjid, surau, rumah anak yatim, Lembaga Zakat Selangor dan Perbadanan Wakaf Selangor.
……………………………………………………………………………………………………………………………
HUBUNGI KAMI
Unit Faraid, Bahagian Harta Baitulmal
Sektor Baitulmal
Majlis Agama Islam Selangor
Tingkat 10 Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah
40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Tel: 03-5514 3773 atau 3772 Faks: 03-5512 4042
Email: pro@mais.gov.my