Bursa dijangka kukuh dengan pembetulan global

KUALA LUMPUR 26 Ogos — FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada minggu ini berkemungkinan mengukuh dengan pembetulan terlebih beli global dan jumlah dagangan yang kecil selepas sambutan hari raya, kata para peniaga.
Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr. Nazri Khan menjangka tindakan pasaran akan kurang memberangsangkan selepas pasaran saham global mencecah paras tinggi bulanan (MSCI All World pada paras tinggi dalam tiga bulan dengan kenaikan 12.4 peratus, Dow Jones pada paras tinggi empat tahun dengan naik 9.8 peratus dan FBM KLCI pada paras tinggi baru, meningkat 8.4 peratus).
“Oleh itu, pengukur pasaran berkemungkinan rendah dengan situasi terlebih beli global ini serta kekecewaan daripada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, kelemahan data ekonomi dunia dari China dan Eropah serta jumlah dagangan yang kecil selepas perayaan Hari Raya menambah prospek untuk sentimen pengambilan untung.
“Memandangkan kenaikan kukuh dalam tiga bulan lepas meskipun persekitaran ekonomi yang perlahan, kami percaya kebanyakan saham menjadi bernilai sepenuhnya daripada perspektif asas dan oleh itu pengambilan untung mungkin wajar,” katanya.
Nazri berkata, FBM KLCI dilihat bergelut untuk melepasi jajaran 1,655 hingga 1,647 dalam masa lapan hari lepas dan penurunan di bawah jajaran mungkin menandakan permulaan proses pengukuhan dan menunjukkan pergerakan perlahan ke arah paras sokongan 1,640.
“Walaupun corak kurang memberangsangkan jangka pendek, kami menjangka penurunan akan positif untuk meneutralkan keadaan terlebih beli manakala aliran menaik jangka sederhana dan jangka panjang kekal tidak terjejas,” katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran berakhir rendah dengan FBM KLCI ditutup 3.39 mata lebih rendah pada 1,648.22 berbanding 1,649.79 yang dicatatkan Jumaat lalu.
Ia mencecah paras tinggi baru pada 1,655.39 pada Rabu.
Pasaran ditutup pada Isnin dan Selasa sempena Hari Raya dan dagangan disambung semula pada Rabu.
Indeks Kewangan menambah 42.56 mata kepada 14,847.38, Indeks Perusahaan menokok 7.73 mata kepada 2,885.05 tetapi Indeks Perladangan susut 50.26 mata kepada 8,591.23.
Sementara itu, Indeks FBM Emas turun 16.05 mata kepada 11,266.26, Indeks FBM Ace menambah 71.68 mata kepada 4,612.68 dan Indeks FBM Mid 70 susut 27.73 mata kepada 12,375.15.
Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 3.826 bilion saham bernilai RM4.115 bilion, daripada 6.155 bilion saham bernilai RM6.715 bilion yang dicatatkan minggu lalu.
Di Pasaran Utama, jumlah dagangan berkurangan kepada 1.94 bilion saham bernilai RM3.755 bilion, daripada 3.477 bilion saham bernilai RM6.345 bilion sebelumnya.
Jumlah dagangan di pasaran ACE turun kepada 1.597 bilion saham bernilai RM326.775 juta, daripada 2.08 bilion unit bernilai RM317.360 juta yang dicatatkan minggu lalu.
Waran susut kepada 272.536 juta unit bernilai RM30.206 juta, daripada minggu lepas sebanyak 556.279 juta unit bernilai RM46.026 juta. — BERNAMA

Pasaran saham bakal tumbuh positif

Munirah Khairuddin bersama Raymond Tang pada majlis pelancaran Dana Ekuiti Al-Azzam CIMB Islamic di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 1 Ogos – Pasaran saham tempatan bakal menyaksikan pertumbuhan positif ekoran selera pelaburan masih kukuh, kata CIMB-Principal Asset Management Bhd. (CIMB-Principal)
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Munirah Khairuddin berkata, walaupun krisis ekonomi Eropah masih berlaku namun pasaran tempatan masih mempunyai ruang pelaburan.
“Peluang dan ruang masih ada bagi pelabur untuk membuat keuntungan dan selera pelaburan di Malaysia masih kukuh.
“Pasaran saham tempatan kekal kukuh sehingga penghujung tahun ini akan kekal pada paras sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Dana Ekuiti Al-Azzam CIMB Islamic (Al-Azzam) di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Pelaburan CIMB-Principal, Raymond Tang.
Sementara itu, CIMB-Principal yakin dapat mencatatkan pertumbuhan aset di bawah pengurusan sebanyak 18 peratus pada tahun ini bersandarkan kepada prestasi kukuh dibuktikan sebelum ini.
“Pada masa ini, nilai aset di bawah pengurusan kami adalah sebanyak RM33.5 bilion bagi pasaran tempatan, Singapura, Thailand dan Indonesia.
“Kami yakin sasaran itu akan dapat dicapai terutama dengan pengenalan beberapa dana baru,” jelasnya.
Dana Al-Azzam yang dilancarkan hari ini merupakan dana ekuiti berlandaskan syariah dengan tujuan mendapat pertumbuhan modal konsisten bagi jangka sederhana dan panjang.
Tumpuan pelaburan adalah syarikat-syarikat berasaskan syariah yang disenaraikan di Bursa Malaysia dengan aliran tunai sihat, hasil dividen tinggi terutama dalam sektor minyak dan gas, peladangan dan pengguna.
Pelaburan minimum untuk dana tersebut adalah RM500 dengan pelaburan tambahan minimum sebanyak RM200.
Al-Azzam mempunyai saiz dana diluluskan 600 juta unit, pada harga RM0.25 seunit pada tempoh tawaran awal.
Ia diagihkan oleh CIMB Bank, Perbankan Persendirian CIMB, CIMB Investment Bank Bhd. dan CIMB Islamic Bank.
Tempoh tawaran bermula hari ini sehingga 21 Ogos hadapan.

Skim Persaraan Swasta Dilancarkan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Skim Pesaraan Swasta (PRS) pada Rabu, yang membolehkan mereka yang bekerja sendiri dan pekerjanya berpeluang membuat simpanan untuk persaraan mereka.
Bagi menggalakkan simpanan di bawah skim tersebut, mereka akan diberi pelepasan cukai sehingga RM3,000 dan majikan pula mendapat pengurangan cukai bagi setiap caruman kepada PRS untuk pekerja mereka dengan kadar yang ditetapkan iaitu 19 peratus.
Sejumlah 24 dana akan diuruskan oleh lapan penyedia Skim Persaraan Swasta yang boleh didapati untuk orang ramai pada September ini.
Lapan Penyedia PRS adalah AmInvestment Management; American International Assurance; CIMB-Principal Asset Management; Hwang Investment Management; ING Funds; Manulife Unit Trust; Public Mutual and RHB Investment Management.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, PRS merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memberi peluang kepada tenaga kerja untuk mendapatkan simpanan jangka panjang untuk persaraan mereka selaras dengan langkah untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.
“Wawasan 2020 bukan sekadar mencapai sasaran pertumbuhan KDNK atau meningkatkan pendapatan per kapita di Malaysia, malah menambah baik kualiti kehidupan rakyat.
“Sebuah negara yang berpendapatan tinggi perlu mampa dan kukuh dari segi rangka kerja sosialnya bagi memastikan simpanan persaraan yang mencukupi.
“Ini melibatkan penyertaan kedua-dua sektor awam dan swasta bagi memastikan negara bersedia menghadapi cabaran terhadap populasi yang semakin menua,” katanya ketika berucap ketika melancarkan Skim Persaraan Swasta dan Pentadbir Pencen Swasta di Suruhanjaya Sekuriti di sini, Rabu.
Beliau menyatakan bahawa negara ini mempunyai penduduk yang muda dengan purata umur rakyat Malaysia adalah 26 tahun dengan jangka hayat meningkat kepada 80 tahun.
“Dengan kata lain, generasi masa depan kita akan hidup lebih 20 tahun selepas bersara.
“Mesej ini adalah jelas. Rakyat Malaysia sebagai pengguna bijak perlu membuat simpanan,” tambahnya.
Belia berkata, langkah untuk menubuhkan PRS merupakan sebahagian daripada objektif kepada rangka kerja persaraan yang komprehensif pelbagai tunggak untuk negara.
“Ini merupakan tunggak yang ketiga pembangunan bagi skim persaraan swasta secara sukarela di mana ia merupakan sebahagian daripada komitmen saya untuk memperbaharui dan mengukuhkan landskap persaraan dan pencen secara menyeluruh di Malaysia,” kata beliau sambil menjadikan peningkatan umur persaraan kepada 60 tahun baru-baru ini sebagai contoh.
– MSTAR

77 Syarikat Pelaburan Tidak Sah

KUALA LUMPUR 31 Julai – Para pelabur di negara ini perlu berhati-hati membuat pelaburan kewangan agar tidak terjebak melabur ke dalam syarikat-syarikat pelaburan yang tidak mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM), termasuk membabitkan skim-skim kewangan yang melibatkan pelaburan emas dan logam berharga lain.
Menurut BNM, sejumlah 77 syarikat atau individu telah disenaraikan sebagai entiti yang tidak mendapat kelulusan dan tidak sah menjalankan aktiviti pelaburan mengikut peraturan kewangan di negara ini.
Antara jenis-jenis aktiviti yang dijalankan oleh syarikat atau individu tersebut kebanyakannya berkisar kepada pelaburan emas, perniagaan mata wang asing atau menjalankan pelaburan tidak berlesen.
Bank pusat itu berkata, ia menerima pertanyaan daripada orang ramai berhubung dengan syarikat yang mendakwa sebagai institusi terjadual dengan BNM untuk membolehkan syarikat tersebut mendapatkan pelaburan daripada orang ramai.
BNM dalam satu kenyataan di sini hari ini menyatakan bank pusat itu tidak mengeluarkan sebarang lesen mahupun surat kebenaran perniagaan kepada syarikat yang menjalankan aktiviti pemajakan, pemfaktoran, pembangunan kewangan atau pembangunan kredit.
Tegasnya, di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989, syarikat-syarikat tersebut perlu mendapat perakuan bertulis daripada Bank Negara sebelum boleh menjalankan aktiviti itu di negara ini.
“Surat perakuan tersebut yang dikeluarkan oleh BNM bukan lesen perniagaan atau kelulusan daripada BNM berhubung dengan perniagaan terjadual seperti dinyatakan dalam surat perakuan berkenaan, ataupun perniagaan lain yang dijalankan oleh institusi terjadual berkenaan,” kata bank itu.
“Senarai institusi terjadual yang telah mendapat perakuan daripada Bank Negara itu hanya untuk disimpan bagi tujuan perangkaan semata-mata.
“Sekiranya syarikat-syarikat tersebut telah berhenti daripada menjalankan perniagaan terjadualnya, BNM akan menarik balik surat perakuan tersebut,” kata bank pusat itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru ia menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menggunakan surat perakuan yang dikatakan dikeluarkan oleh BNM untuk menarik pelaburan dalam pelbagai skim kewangan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk kepada bahagian ‘Peringatan kepada Semua Penggguna Kewangan’ yang terdapat di laman sesawang Bank Negara http://www.bnm.gov.my/ atau hubungi talian: 1-300-88-5465 atau dan e-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my

Rancang harta awal tak susahkan waris

Aset yang diurus dengan baik mampu elak pentadbiran pusaka berlapis 
Perancangan harta atau pusaka memainkan peranan sama penting dengan perancangan kewangan bagi umat Islam. Perancangan harta dalam kalangan umat Islam masih belum di tahap terbaik, namun semakin diterima dan menunjukkan tanda positif.
Oleh itu, umat Islam digalakkan terus menambah ilmu, meningkatkan pengetahuan dan pemahaman khususnya perkara berkaitan perancangan harta seterusnya boleh memperkemas serta melaksanakan perancangan harta masing-masing. 
Perancangan harta lazimnya membabitkan harta atau aset sah dimiliki seseorang dalam bentuk harta alih seperti wang tunai atau saham, sementara harta tak alih antaranya tanah, rumah, rumah sewa dan bangunan. 
Apabila seseorang itu membuat perancangan harta, maka ini menunjukkan pemilik telah membuat keputusan memberikan hartanya kepada dikehendaki baik individu, rumah kebajikan, masjid atau rumah anak yatim menggunakan instrumen dibenarkan secara sah di sisi undang-undang. 
Ada juga pemilik harta berhasrat memberikan harta ke jalan Allah dengan harapan mendapat balasan pahala menggunakan perancangan harta sebagai jalan terbaik bagi merealisasikan hasrat itu. 
Apa dilakukan pemilik harta jelas menunjukkan penggunaan kuasa mutlak menentukan keperluan untuk dirinya, ahli keluarga ditinggalkan tanpa cuba membelakangkan tuntutan syarak. Pada masa sama, pemilik sedar perancangan harta untuk kemakmuran serta kebahagiaan di dunia dan akhirat. 
Bagi tujuan itu, umat Islam perlu bijak mengurus dan memiliki asas perancangan harta terbaik yang dapat mengimbangi keperluan dunia serta akhirat supaya tidak kerugian. Perkara asas ini penting sebagai visi utama kehidupan umat Islam pada zaman semakin mencabar. 
Oleh itu, umat Islam sering diingatkan jangan terlalu leka atau lalai mengejar dan mempersiapkan kemewahan dunia sehingga melupakan keperluan kehidupan akhirat. Sama-sama kita berdoa supaya tidak termasuk dalam golongan ini. 
Hakikatnya, semakin banyak kisah mendukacitakan apabila kesenangan dan kekayaan kehidupan dunia berupaya membuatkan umat Islam tidak mengenali makna kesyukuran. Ada yang sanggup memperjudikan maruah diri dengan membiarkan kezaliman berterusan. 
Begitu juga dengan kemiskinan dan kealpaan yang turut melanda penduduk dunia, umat Islam tidak terkecuali. Jika tiada kekuatan iman, akan mudah hilang pegangan hidup. Jadi, tidak mustahil perkara sama boleh berlaku kepada siapa saja tanpa mengira darjat, keturunan, kaya atau miskin. 
Cuba kita bisikkan di hati dan buka mata untuk melihat apakah yang telah dilakukan kepada rezeki dikurniakan. Sedarkah kita harta hanya sementara? Sedarkah kita harta akan ditinggalkan dengan cara yang dituntut atau membiarkan menjadi rebutan serta perbalahan ahli keluarga. 
Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Abi Hurairah, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang suka untuk dilapangkan rezekinya dan diakhirkan ajalnya (dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menyambung tali silaturahim.” 
Dalam konteks ini, perancangan harta yang sistematik akan membuka pintu kepada pelbagai kebaikan yang membawa manfaat banyak pihak. Perancangan harta boleh dilakukan dengan mudah jika kita menerima secara positif. 
Sebaliknya, jika kita enggan dan sukar menerima maka pelaksanaan perancangan akan menjadi bertambah sukar. 
Jika masih ada masa tidak mengapa tetapi siapa tahu bila dia akan menemui ajal. Jadi mengapa perlu berlengah. 
Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang kehidupan duniawi menjadi tujuan utamanya, nescaya Allah menjauhkan dirinya dari tujuannya, dan meletakkan kefakiran di hadapan biji matanya. Ia tidak mendapatkan kehidupan dunia, melainkan apa yang telah ditentukan baginya. Barang siapa yang kehidupan akhirat menjadi niat utamanya, nescaya Allah akan menyatakan dirinya dengan tujuannya, dan menjadikan kekayaan dalam hatinya sekali gus mendapat kehidupan duniawi. Dan (perlu diingat), kehidupan duniawi adalah hina.” (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi) 
Tidak dinafikan ramai antara umat Islam sendiri kurang pendedahan mengenai perancangan harta dan pentadbiran pusaka. Akibatnya, kita melihat pertelagahan berlaku disebabkan berebut harta pusaka. 
Kebiasaannya pertelagahan akan berlanjutan dan mengambil masa panjang untuk diselesaikan lebih-lebih lagi apabila kes menjadi lebih kompleks sehingga ke mahkamah apabila masih tidak mencapai persefahaman. 
Jika tiada lagi tolak ansur dalam kalangan ahli waris yang berhak, jangan terperanjat jika penyelesaian pentadbiran pusaka boleh berpanjangan untuk satu tempoh menakutkan hingga bertahun-tahun. 
Semakin lama penyelesaian gagal dilakukan maka bertambah rumit dan kompleks pentadbiran pusaka kerana kemungkinan ada kematian ahli waris yang berhak. 
Inilah yang menjadi asas utama kepada berlakunya pentadbiran pusaka berlapis. 
Bagaimana untuk mengelakkan berlakunya pentadbiran pusaka berlapis dan keluarga terpaksa berdepan masalah berpanjangan? Apakah tindakan segera yang perlu dilakukan bagi memudahkan perjalanan pentadbiran pusaka? 
Ikuti cara bagaimana memulakan perancangan anda dengan mudah minggu depan. 
Di CIMB Wealth Advisors Berhad, kami menyediakan perkhidmatan pengurusan aset yang lengkap yang diperlukan untuk semua individu dari segi penjanaan harta melalui simpanan dan pelaburan, perlindungan pendapatan melalui sistem takaful dan insurans serta pembahagian harta melalui penulisan wasiat.  

Prestasi kewangan mantap





Penyenaraian IPO FGV pasaran kukuh lonjak untung Bursa Malaysia 

Kuala Lumpur: Bursa Malaysia Bhd, yakin tetapi berhati-hati terhadap prestasi kewangannya bagi tempoh enam bulan kedua tahun ini, sebahagian besarnya berikutan keadaan ekonomi tidak menentu di Eropah dan Amerika Syarikat. Ketua Eksekutifnya, Datuk Tajuddin Atan, berkata prestasi enam bulan pertama pengendali pasaran saham tempatan itu adalah mengagumkan disumbangkan terutama oleh penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) kedua terbesar dunia, Felda Global Ventures Bhd, sebagai faktor utama. 
“Berdasarkan prestasi dalam enam bulan pertama itu, kami berharap momentum itu akan berterusan berdasarkan hakikat bahawa pasaran terus memperlihat tanda pemulihan. 
“Tetapi, kami berbangga prestasi kewangan kami dalam enam bulan pertama adalah lebih kukuh berbanding bursa lain di rantau ini,” katanya sidang media mengumumkan prestasi kewangan separuh pertama Bursa Malaysia berakhir 30 Jun lalu. 
Tajuddin berkata, Bursa Malaysia berharap asas ekonomi Malaysia yang kukuh, serta inisiatif kerajaan akanmengurangkan kesan buruk kelemahan ekonomi dunia, sekali gus mengekalkan momentum pasaran sekuriti tempatan. 
Dalam tempoh separuh pertama tahun ini, Bursa Malaysia meraih keuntungan sebelum cukai RM111.6 juta, naik tiga peratus daripada RM107.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu. 
Ia diraihnya daripada pendapatan RM216.5 juta, merosot sedikit daripada RM217.2 juta. 
Jumlah pendapatan operasinya dalam tempoh itu jatuh dua peratus kepada RM197.2 juta, tetapi perbelanjaan operasinya susut empat peratus kepada RM104.90 juta. 
Pendapatan urus niaga pasaran sekuriti jatuh 10 peratus kepada RM92.9 juta daripada RM103.8 juta dalam enam bulan pertama 2011, sementara purata nilai dagangan harian adalah RM1.74 bilion berbanding RM1.93 bilion sebelumnya. – BERNAMA