Sembilan lagi firma dikenal pasti

Berhati-hatilah dengan pelaburan emas. Banyak skim Pak Man Telo yang menggunakan emas sebagai sandaran untuk mengaburi mata orang ramai…

2012/10/17 – 07:24:39 AM Oleh Ahmad Fiesal Othman


Urus pelaburan, termasuk emas tanpa kebenaran Bank Negara

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) mengenal pasti sembilan lagi syarikat, termasuk lima yang terbabit dalam pelaburan emas, menjalankan kegiatan tanpa mengikut peraturan kewangan. Syarikat berkenaan ialah Azea Property Sdn Bhd, CGF Fine Metal Sdn Bhd, Eagle Aeronautics (M) Sdn Bhd, Global Peace Loving Family, Greenmillion Agrosolution Enterprise, Public Gold Sdn Bhd, Royal Gold Sdn Bhd, SGFM Trading Sdn Bhd dan Urustabil Sdn Bhd.
CGF Fine Metal, Future Trade Indojaya, Public Gold, Royal Gold, dan SGFM Trading terbabit dalam pelaburan emas, manakala Azea Property, Eagle Aeronautics, Global Peace Loving Family, Greenmillion Agrosolution, dan Urustabil aktiviti lain tanpa berlesen.

CGF Fine Metal, Future Trade Indojaya, Public Gold, Royal Gold, dan SGFM Trading terbabit dalam pelaburan emas, manakala Azea Property, Eagle Aeronautics, Global Peace Loving Family, Greenmillion Agrosolution, dan Urustabil aktiviti lain tanpa berlesen.

Entiti tidak sah

Syarikat berkenaan disenaraikan dalam laman web Bank Negara www.bnm.gov.my pada 27 September lalu. Ia menjadikan 87 syarikat atau individu disenaraikan sebagai entiti yang tidak mendapat kelulusan dan tidak sah menjalankan aktiviti pelaburan mengikut peraturan kewangan dalam bidang kuasa BNM.

Menurut kenyataan Bank Negara dalam laman web itu, ia sebagai panduan kepada orang ramai berikutan pelbagai maklumat dan pertanyaan yang diterima daripada orang awam dan dikemas kini dari semasa ke semasa untuk rujukan orang ramai.
Katanya, kebanyakan aktiviti ialah pelaburan emas, perniagaan mata wang asing atau pelaburan tidak berlesen. Mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989, syarikat terbabit perlu mendapat perakuan bertulis daripada Bank Negara sebelum menjalankan aktiviti itu di negara ini.

Bank Negara juga menegaskan tidak mengeluarkan sebarang lesen atau surat kebenaran perniagaan kepada syarikat yang menjalankan aktiviti pemajakan, pemfaktoran, pembangunan kewangan atau pembangunan kredit.

“Bank Negara ingin mengingatkan orang ramai supaya melabur dengan pihak yang dilesenkan pihak berkuasa.

“Anda dinasihatkan berhati-hati serta meneliti kesan buruk sebelum menyertai mana-mana skim yang menjanjikan pulangan tinggi dalam jangka masa singkat,” katanya.

Bank Negara juga menjelaskan ramai pelabur menjadi mangsa akibat keliru dengan tawaran lumayan penganjur kerana ingin cepat kaya.

Mengambil contoh penipuan kewangan pelaburan emas, Bank Negara berkata, ada beberapa modus operandi yang sering digunakan bagi mengelirukan pelabur.

Antaranya meminta pelabur mengisi borang pelaburan dan menandatangani perjanjian dengan pengendali skim.

Pelabur akan membayar harga emas sama ada menerusi cek atau secara tunai dan diberikan pilihan untuk mengambil emas (bersama sijil pelaburan emas) pada bila-bila masa seperti ditetapkan pengendali skim atau membenarkan pengendali skim menyimpan produk emas.

Pelabur dijanjikan menerima pulangan dalam bentuk dividen atau hibah setiap bulan sepanjang tempoh pelaburan mengikut peratusan ditetapkan dan pengendali skim menjamin pembelian balik ketika tempoh akhir perjanjian pada harga belian asal.

Justeru, Bank Negara menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menggunakan surat perakuan yang dikatakan dikeluarkan oleh bank pusat itu untuk menarik pelaburan dalam pelbagai skim.

Untuk maklumat lanjut, rujuk laman web Bank Negara www.bnm.gov.my atau hubungi talian 1-300-88-5465 atau e-mel bnmtelelink@bnm.gov.my.

50,000 pelabur Genneva Gold terjerat

Pelanggan Genneva Malaysia berkumpul di depan premis berkenaan ketika Bank Negara Malaysia membuat pemeriksaan bersama KPDNKK. – Foto Mokhsin Abidin

Kuala Lumpur: Lebih 50,000 pelabur sebuah syarikat pelaburan dan perdagangan emas terjerat apabila tiga pejabat Genneva Malaysia Sdn Bhd di Jalan Kuchai Lama di sini, diserbu pihak berkuasa, petang semalam.

Syarikat itu difahamkan sudah terbabit dalam perdagangan emas membabitkan lebih RM5 bilion sejak 2007. Bank negara serbu 


Serbuan dibuat Bank Negara Malaysia (Bank Negara), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jam 2 petang. 

Serbuan serentak turut dilakukan Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura ke atas Genneva Pte Ltd di republik itu.

Dalam serbuan di sini, pihak berkuasa merampas beratus-ratus kotak berisi dokumen urus niaga membabitkan transaksi jual beli emas, komputer, kepingan emas dan sejumlah wang tunai.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 25 (1) Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 dan Seksyen 4 (1) Akta Pengubahan Wang Haram Mengikut laporan sebelum ini, orang kenamaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan ahli perniagaan adalah antara pelabur syarikat berkenaan. 
Menurut kenyataan bersama dikeluarkan semua agensi terbabit dalam operasi itu semalam, syarikat berkenaan diserbu kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh semua agensi berkenaan.

Sementara itu, sumber berkata, siasatan sedang dibuat sama ada syarikat pelaburan emas yang menggunakan nama sama di Singapura ada kaitan dengan operasi Genneva di Malaysia.

Katanya, serbuan dilakukan hasil maklumat risikan dan aduan diterima daripada orang ramai berhubung aktiviti syarikat itu.

Sumber itu memberitahu BH, syarikat berkenaan mula beroperasi sejak 2007 dan ketika itu didaftarkan sebagai Genneva Sdn Bhd serta pernah didakwa pada 2009.

“Selepas didakwa, syarikat itu didapati menukar namanya pada tahun lalu untuk meneruskan kegiatan mereka.

“Bank Negara dan semua agensi yang terbabit dalam serbuan ini (semalam) sedang menjalankan siasatan mengikut akta dan kesalahan di bawah bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Sementara itu, sehingga jam 10 malam tadi, beratus-ratus pelanggan Genneva Malaysia berkumpul di hadapan pejabat syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, kehadiran polis berjaya mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.