Dana Asing di Bursa Malaysia Meningkat


Oleh Suffian A Bakar
suffian@bharian.com.my
2012/01/13

Dasar kerajaan berjaya tarik minat pelabur luar

BURSA Malaysia bakal menyaksikan kemasukan lebih banyak dana pelaburan asing tahun ini, berikutan meningkatnya keyakinan pelabur terhadap dasar yang dilaksanakan kerajaan dalam mengemudikan ekonomi negara, kata Naib Presiden yang juga Ketua Strategi Pelaburan dan Penyelidikan (Produk Pengurusan Kekayaan) Citibank Bhd, Steven Yong CS.
Beliau berkata, pegangan asing dalam saham syarikat di Bursa Malaysia meningkat kepada 28 peratus ketika ini, berbanding 23 peratus pada akhir suku ketiga 2011 dan ia dijangka meningkat lagi tahun ini.
“Dasar dilaksanakan kerajaan hari ini dilihat positif. Ini dicerminkan peningkatan kemasukan dana asing ke dalam pasaran saham tempatan.

“Bagaimanapun, ia (pegangan asing) belum lagi mencecah tahap puncak sekitar 35 peratus seperti direkodkan sebelum ini dan saya melihat Bursa Malaysia berpotensi menerima lebih banyak dana asing tahun ini,” katanya pada taklimat mengenai tinjauan pelaburan runcit bagi 2012 di Kuala Lumpur, semalam.

Yong berkata, pelabur asing biasanya memasuki pasaran bagi prospek jangka panjang dan tempoh mereka banyak bergantung kepada keberkesanan dasar kerajaan.

Beliau berkata, keputusan pilihan raya umum yang dijangka diadakan dalam separuh pertama tahun ini turut menjadi faktor penting.
Mengenai tinjauan prestasi Bursa Malaysia, beliau berkata, KLCI FBM dijangka berlegar menghampiri paras 1,600 mata tahun ini.

“Masih ada banyak ketidakpastian sehingga kita sampai ke pertengahan tahun ini.
“Apakah dasar yang akan dilaksanakan tahun ini akan memberi kesan kepada pasaran,” katanya.

Yong berkata, KLCI FBM yang menutup tirai 2011 melebihi paras 1,500 mata, iaitu lebih tinggi daripada unjuran Citibank sebanyak 1,450 mata, didorong terutama oleh belian asing.

Bagi tahun ini, beliau berkata, sektor pilihan termasuk minyak dan gas serta perladangan.

Citibank menjangka ringgit akan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tahun ini berdasarkan perspektif asas ekonomi jangka panjang negara.

Beliau berkata, pada dasarnya, disebabkan jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada lima peratus berbanding dua peratus bagi Amerika Syarikat (AS), nilai ringgit dijangka mengukuh tahun ini.

Bagaimanapun, katanya dalam jangka pendek, kelemahan euro akan memberi manfaat kepada dolar AS dan akan mempunyai kesan terhadap prestasi mata wang tempatan.

Yong mengunjurkan ringgit berada dalam lingkungan RM3.2 dan RM3.23 bagi setiap dolar AS dalam tempoh tiga bulan akan datang dan dijangka mengukuh kepada RM3.10 dan RM3.12 dalam tempoh enam bulan akan datang.

Citibank mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang lima peratus tahun ini dan mengukuh kepada enam peratus tahun berikutnya, manakala inflasi tahun ini diunjurkan berlegar sekitar 2.7 peratus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *