Prestasi kewangan mantap





Penyenaraian IPO FGV pasaran kukuh lonjak untung Bursa Malaysia 

Kuala Lumpur: Bursa Malaysia Bhd, yakin tetapi berhati-hati terhadap prestasi kewangannya bagi tempoh enam bulan kedua tahun ini, sebahagian besarnya berikutan keadaan ekonomi tidak menentu di Eropah dan Amerika Syarikat. Ketua Eksekutifnya, Datuk Tajuddin Atan, berkata prestasi enam bulan pertama pengendali pasaran saham tempatan itu adalah mengagumkan disumbangkan terutama oleh penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) kedua terbesar dunia, Felda Global Ventures Bhd, sebagai faktor utama. 
“Berdasarkan prestasi dalam enam bulan pertama itu, kami berharap momentum itu akan berterusan berdasarkan hakikat bahawa pasaran terus memperlihat tanda pemulihan. 
“Tetapi, kami berbangga prestasi kewangan kami dalam enam bulan pertama adalah lebih kukuh berbanding bursa lain di rantau ini,” katanya sidang media mengumumkan prestasi kewangan separuh pertama Bursa Malaysia berakhir 30 Jun lalu. 
Tajuddin berkata, Bursa Malaysia berharap asas ekonomi Malaysia yang kukuh, serta inisiatif kerajaan akanmengurangkan kesan buruk kelemahan ekonomi dunia, sekali gus mengekalkan momentum pasaran sekuriti tempatan. 
Dalam tempoh separuh pertama tahun ini, Bursa Malaysia meraih keuntungan sebelum cukai RM111.6 juta, naik tiga peratus daripada RM107.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu. 
Ia diraihnya daripada pendapatan RM216.5 juta, merosot sedikit daripada RM217.2 juta. 
Jumlah pendapatan operasinya dalam tempoh itu jatuh dua peratus kepada RM197.2 juta, tetapi perbelanjaan operasinya susut empat peratus kepada RM104.90 juta. 
Pendapatan urus niaga pasaran sekuriti jatuh 10 peratus kepada RM92.9 juta daripada RM103.8 juta dalam enam bulan pertama 2011, sementara purata nilai dagangan harian adalah RM1.74 bilion berbanding RM1.93 bilion sebelumnya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *