Rancang harta awal tak susahkan waris

Aset yang diurus dengan baik mampu elak pentadbiran pusaka berlapis 
Perancangan harta atau pusaka memainkan peranan sama penting dengan perancangan kewangan bagi umat Islam. Perancangan harta dalam kalangan umat Islam masih belum di tahap terbaik, namun semakin diterima dan menunjukkan tanda positif.
Oleh itu, umat Islam digalakkan terus menambah ilmu, meningkatkan pengetahuan dan pemahaman khususnya perkara berkaitan perancangan harta seterusnya boleh memperkemas serta melaksanakan perancangan harta masing-masing. 
Perancangan harta lazimnya membabitkan harta atau aset sah dimiliki seseorang dalam bentuk harta alih seperti wang tunai atau saham, sementara harta tak alih antaranya tanah, rumah, rumah sewa dan bangunan. 
Apabila seseorang itu membuat perancangan harta, maka ini menunjukkan pemilik telah membuat keputusan memberikan hartanya kepada dikehendaki baik individu, rumah kebajikan, masjid atau rumah anak yatim menggunakan instrumen dibenarkan secara sah di sisi undang-undang. 
Ada juga pemilik harta berhasrat memberikan harta ke jalan Allah dengan harapan mendapat balasan pahala menggunakan perancangan harta sebagai jalan terbaik bagi merealisasikan hasrat itu. 
Apa dilakukan pemilik harta jelas menunjukkan penggunaan kuasa mutlak menentukan keperluan untuk dirinya, ahli keluarga ditinggalkan tanpa cuba membelakangkan tuntutan syarak. Pada masa sama, pemilik sedar perancangan harta untuk kemakmuran serta kebahagiaan di dunia dan akhirat. 
Bagi tujuan itu, umat Islam perlu bijak mengurus dan memiliki asas perancangan harta terbaik yang dapat mengimbangi keperluan dunia serta akhirat supaya tidak kerugian. Perkara asas ini penting sebagai visi utama kehidupan umat Islam pada zaman semakin mencabar. 
Oleh itu, umat Islam sering diingatkan jangan terlalu leka atau lalai mengejar dan mempersiapkan kemewahan dunia sehingga melupakan keperluan kehidupan akhirat. Sama-sama kita berdoa supaya tidak termasuk dalam golongan ini. 
Hakikatnya, semakin banyak kisah mendukacitakan apabila kesenangan dan kekayaan kehidupan dunia berupaya membuatkan umat Islam tidak mengenali makna kesyukuran. Ada yang sanggup memperjudikan maruah diri dengan membiarkan kezaliman berterusan. 
Begitu juga dengan kemiskinan dan kealpaan yang turut melanda penduduk dunia, umat Islam tidak terkecuali. Jika tiada kekuatan iman, akan mudah hilang pegangan hidup. Jadi, tidak mustahil perkara sama boleh berlaku kepada siapa saja tanpa mengira darjat, keturunan, kaya atau miskin. 
Cuba kita bisikkan di hati dan buka mata untuk melihat apakah yang telah dilakukan kepada rezeki dikurniakan. Sedarkah kita harta hanya sementara? Sedarkah kita harta akan ditinggalkan dengan cara yang dituntut atau membiarkan menjadi rebutan serta perbalahan ahli keluarga. 
Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Abi Hurairah, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang suka untuk dilapangkan rezekinya dan diakhirkan ajalnya (dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menyambung tali silaturahim.” 
Dalam konteks ini, perancangan harta yang sistematik akan membuka pintu kepada pelbagai kebaikan yang membawa manfaat banyak pihak. Perancangan harta boleh dilakukan dengan mudah jika kita menerima secara positif. 
Sebaliknya, jika kita enggan dan sukar menerima maka pelaksanaan perancangan akan menjadi bertambah sukar. 
Jika masih ada masa tidak mengapa tetapi siapa tahu bila dia akan menemui ajal. Jadi mengapa perlu berlengah. 
Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang kehidupan duniawi menjadi tujuan utamanya, nescaya Allah menjauhkan dirinya dari tujuannya, dan meletakkan kefakiran di hadapan biji matanya. Ia tidak mendapatkan kehidupan dunia, melainkan apa yang telah ditentukan baginya. Barang siapa yang kehidupan akhirat menjadi niat utamanya, nescaya Allah akan menyatakan dirinya dengan tujuannya, dan menjadikan kekayaan dalam hatinya sekali gus mendapat kehidupan duniawi. Dan (perlu diingat), kehidupan duniawi adalah hina.” (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi) 
Tidak dinafikan ramai antara umat Islam sendiri kurang pendedahan mengenai perancangan harta dan pentadbiran pusaka. Akibatnya, kita melihat pertelagahan berlaku disebabkan berebut harta pusaka. 
Kebiasaannya pertelagahan akan berlanjutan dan mengambil masa panjang untuk diselesaikan lebih-lebih lagi apabila kes menjadi lebih kompleks sehingga ke mahkamah apabila masih tidak mencapai persefahaman. 
Jika tiada lagi tolak ansur dalam kalangan ahli waris yang berhak, jangan terperanjat jika penyelesaian pentadbiran pusaka boleh berpanjangan untuk satu tempoh menakutkan hingga bertahun-tahun. 
Semakin lama penyelesaian gagal dilakukan maka bertambah rumit dan kompleks pentadbiran pusaka kerana kemungkinan ada kematian ahli waris yang berhak. 
Inilah yang menjadi asas utama kepada berlakunya pentadbiran pusaka berlapis. 
Bagaimana untuk mengelakkan berlakunya pentadbiran pusaka berlapis dan keluarga terpaksa berdepan masalah berpanjangan? Apakah tindakan segera yang perlu dilakukan bagi memudahkan perjalanan pentadbiran pusaka? 
Ikuti cara bagaimana memulakan perancangan anda dengan mudah minggu depan. 
Di CIMB Wealth Advisors Berhad, kami menyediakan perkhidmatan pengurusan aset yang lengkap yang diperlukan untuk semua individu dari segi penjanaan harta melalui simpanan dan pelaburan, perlindungan pendapatan melalui sistem takaful dan insurans serta pembahagian harta melalui penulisan wasiat.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *