Pasaran saham bakal tumbuh positif

Munirah Khairuddin bersama Raymond Tang pada majlis pelancaran Dana Ekuiti Al-Azzam CIMB Islamic di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 1 Ogos – Pasaran saham tempatan bakal menyaksikan pertumbuhan positif ekoran selera pelaburan masih kukuh, kata CIMB-Principal Asset Management Bhd. (CIMB-Principal)
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Munirah Khairuddin berkata, walaupun krisis ekonomi Eropah masih berlaku namun pasaran tempatan masih mempunyai ruang pelaburan.
“Peluang dan ruang masih ada bagi pelabur untuk membuat keuntungan dan selera pelaburan di Malaysia masih kukuh.
“Pasaran saham tempatan kekal kukuh sehingga penghujung tahun ini akan kekal pada paras sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Dana Ekuiti Al-Azzam CIMB Islamic (Al-Azzam) di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Pelaburan CIMB-Principal, Raymond Tang.
Sementara itu, CIMB-Principal yakin dapat mencatatkan pertumbuhan aset di bawah pengurusan sebanyak 18 peratus pada tahun ini bersandarkan kepada prestasi kukuh dibuktikan sebelum ini.
“Pada masa ini, nilai aset di bawah pengurusan kami adalah sebanyak RM33.5 bilion bagi pasaran tempatan, Singapura, Thailand dan Indonesia.
“Kami yakin sasaran itu akan dapat dicapai terutama dengan pengenalan beberapa dana baru,” jelasnya.
Dana Al-Azzam yang dilancarkan hari ini merupakan dana ekuiti berlandaskan syariah dengan tujuan mendapat pertumbuhan modal konsisten bagi jangka sederhana dan panjang.
Tumpuan pelaburan adalah syarikat-syarikat berasaskan syariah yang disenaraikan di Bursa Malaysia dengan aliran tunai sihat, hasil dividen tinggi terutama dalam sektor minyak dan gas, peladangan dan pengguna.
Pelaburan minimum untuk dana tersebut adalah RM500 dengan pelaburan tambahan minimum sebanyak RM200.
Al-Azzam mempunyai saiz dana diluluskan 600 juta unit, pada harga RM0.25 seunit pada tempoh tawaran awal.
Ia diagihkan oleh CIMB Bank, Perbankan Persendirian CIMB, CIMB Investment Bank Bhd. dan CIMB Islamic Bank.
Tempoh tawaran bermula hari ini sehingga 21 Ogos hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *