Bursa dijangka kukuh dengan pembetulan global

KUALA LUMPUR 26 Ogos — FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada minggu ini berkemungkinan mengukuh dengan pembetulan terlebih beli global dan jumlah dagangan yang kecil selepas sambutan hari raya, kata para peniaga.
Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr. Nazri Khan menjangka tindakan pasaran akan kurang memberangsangkan selepas pasaran saham global mencecah paras tinggi bulanan (MSCI All World pada paras tinggi dalam tiga bulan dengan kenaikan 12.4 peratus, Dow Jones pada paras tinggi empat tahun dengan naik 9.8 peratus dan FBM KLCI pada paras tinggi baru, meningkat 8.4 peratus).
“Oleh itu, pengukur pasaran berkemungkinan rendah dengan situasi terlebih beli global ini serta kekecewaan daripada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, kelemahan data ekonomi dunia dari China dan Eropah serta jumlah dagangan yang kecil selepas perayaan Hari Raya menambah prospek untuk sentimen pengambilan untung.
“Memandangkan kenaikan kukuh dalam tiga bulan lepas meskipun persekitaran ekonomi yang perlahan, kami percaya kebanyakan saham menjadi bernilai sepenuhnya daripada perspektif asas dan oleh itu pengambilan untung mungkin wajar,” katanya.
Nazri berkata, FBM KLCI dilihat bergelut untuk melepasi jajaran 1,655 hingga 1,647 dalam masa lapan hari lepas dan penurunan di bawah jajaran mungkin menandakan permulaan proses pengukuhan dan menunjukkan pergerakan perlahan ke arah paras sokongan 1,640.
“Walaupun corak kurang memberangsangkan jangka pendek, kami menjangka penurunan akan positif untuk meneutralkan keadaan terlebih beli manakala aliran menaik jangka sederhana dan jangka panjang kekal tidak terjejas,” katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran berakhir rendah dengan FBM KLCI ditutup 3.39 mata lebih rendah pada 1,648.22 berbanding 1,649.79 yang dicatatkan Jumaat lalu.
Ia mencecah paras tinggi baru pada 1,655.39 pada Rabu.
Pasaran ditutup pada Isnin dan Selasa sempena Hari Raya dan dagangan disambung semula pada Rabu.
Indeks Kewangan menambah 42.56 mata kepada 14,847.38, Indeks Perusahaan menokok 7.73 mata kepada 2,885.05 tetapi Indeks Perladangan susut 50.26 mata kepada 8,591.23.
Sementara itu, Indeks FBM Emas turun 16.05 mata kepada 11,266.26, Indeks FBM Ace menambah 71.68 mata kepada 4,612.68 dan Indeks FBM Mid 70 susut 27.73 mata kepada 12,375.15.
Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 3.826 bilion saham bernilai RM4.115 bilion, daripada 6.155 bilion saham bernilai RM6.715 bilion yang dicatatkan minggu lalu.
Di Pasaran Utama, jumlah dagangan berkurangan kepada 1.94 bilion saham bernilai RM3.755 bilion, daripada 3.477 bilion saham bernilai RM6.345 bilion sebelumnya.
Jumlah dagangan di pasaran ACE turun kepada 1.597 bilion saham bernilai RM326.775 juta, daripada 2.08 bilion unit bernilai RM317.360 juta yang dicatatkan minggu lalu.
Waran susut kepada 272.536 juta unit bernilai RM30.206 juta, daripada minggu lepas sebanyak 556.279 juta unit bernilai RM46.026 juta. — BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *