3 Rahsia Kejayaan Pelaburan Hartanah

Hai semua, hari ini saya ingin kongsikan artikel mengenai 3 rahsia kejayaan dalam pelaburan hartanah.  Artikel ini saya terjemahkan dari artikel asal 3 Secrets to Real Estate Investment Success yang ditulis oleh  Pauline Mendoza dalam Inc Southeast Asia. Artikelnya adalah seperti di bawah.

Selain melabur untuk memulakan perniagaan di Asia Tenggara, melabur dalam hartanah adalah salah satu pilihan yang menguntungkan di luar sana. Potensi keuntungan adalah menarik kepada pelabur baru dan juga yang berpengalaman, tetapi ia adalah perniagaan yang berisiko.

Nilai pasaran hartanah berubah dari semasa ke semasa, dan mana-mana pelabur bijak harus tahu strategi yang betul untuk memaksimumkan keuntungan. Seperti tulisan Rahul Varshneya dalam artikel Inc., “Sudah tidak ada lagi hari kestabilan – di mana kita boleh menghabiskan 40 tahun bekerja untuk syarikat yang sama dan bersara dengan selesa. Kini, orang mencari cara alternatif untuk menjana kekayaan dan keselamatan kewangan”.

Sekiranya kita pandai menggunakan peluang dengan betul, pelaburan hartanah yang berjaya boleh menjadi kunci kepada kejayaan portfolio pelaburan serta persaraan yang selesa. Jadi, bagaimana kita boleh berjaya dalam perniagaan ini? Berikut adalah beberapa petua yang bagus untuk kita ikuti:

1. Buat Kajian Terlebih Dahulu

“‘Penawaran dan permintaan’ adalah faktor utama yang mempengaruhi pergerakan nilai harta benda,” kata Icel Dy, Naib Presiden di perusahaan pengurusan portfolio hartanah Spectrum Investments. Beliau menasihatkan para pelabur untuk melakukan penyelidikan dan mendapatkan seberapa banyak maklumat yang mereka dapat mengenai harta yang mereka minat.

“Adakah terdapat pembangunan infrastruktur yang akan membuat hartanah lebih menyenangkan, dan juga dapat diakses? Adakah terdapat pembangunan di sekitar pejabat, hospital, dan sekolah yang akan meningkatkan permintaan perumahan?” Tambah Dy.

Tetapi jangan terperangkap dalam mod kajian seperti ini. “Memang benar, kita tidak boleh melabur atau mencari rumah tanpa pengetahuan asas, tetapi melabur adalah satu permainan diantara hubungan yang pertama dan utama,” kata Cody Sperber, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CleverInvestor, dalam artikel Varshneya.

2. Fikirkan Untuk Jangka Panjang

Kejayaan dalam pelaburan hartanah tidak berlaku semalaman. Dalam perniagaan ini, masa adalah permainannya. “Pelaburan secara jangka panjang membolehkan kita menggunakan sepenuhnya peluang yang ada, menikmati pendapatan sewa sementara menunggu masa yang tepat untuk membuat keputusan ke atas pelaburan yang kita buat tanpa terjejas oleh turun naik pasaran jangka pendek,” kata Dy.

3. Kenal Pasti Objektif Anda

Seseorang itu melabur dalam hartanah atas pelbagai sebab – untuk kegunaan peribadi, kenaikan modal jangka panjang, atau aliran tunai. Perkara pertama seseorang itu  harus bertanya, kenapa dia mahu melabur dalam harta tertentu kerana matlamat seseorang adalah penting dalam penyediaan dan perancangan pelaburan.

Kata Dy, “Matlamat yang jelas akan membawa kita ke pandangan yang lebih jelas mengenai jenis pelaburan hartanah yang kita perlukan dan untuk kita kejar.”

Tips Bonus: Jangan Beremosi

“Ada perkara yang kita sukai, perkara-perkara yang membuat kita kecewa, teruja, gugup, dan sebagainya. Tetapi pelaburan hartanah, sama seperti perniagaan, tidak harus melibatkan perasaan atau emosi,” kongsi Dy.

“Hanya gunakan emosi anda apabila membeli rumah untuk anda diami sendiri. Gunakan akal kita – kita perlu menganalisa ‘tawaran dan permintaan’ serta faktor penting lain apabila kita membuat pelaburan hartanah. “

Terjemahan oleh Jeff AJ